Monday, October 12, 2015

(Etika Dalam Sains Seni Bina Islam)

Oleh : Noor Aishah Binti Robani

PENDAHULUAN
Seni bina bermaksud bangunan yang dicorakkan oleh seseorang yang tahu dalam selok belok pembinaan dan pertukangan. Pembinaan bangunan berkait rapat dengan kecekapan merancang sesuatu bandar dan merupakan salah satu ciri tamadun sesebuah masyarakat.Sejarah telah mengiktiraf tentang kehebatan seni bina Islam yang tidak ada tolok bandingnya.Kehebatan ini merupakan suatu bukti mengenai ketinggian tamadun baik dari sudut fizikal mahupun spiritual.Selain faktor tauhid, ketinggian nilai dalam seni bina Islam ialah dari segi ketepatan mengikut ukuran tertentu, bentuk susunannya, pengisian ruang yang dihiasi bersama-sama teknik motif serta komposisinya.Justeru itu berbagai-bagai faktor perlu diambil kira ketika membangun sesuatu binaan. Misalnya siapakah yang akan menempati, bagaimana status sosialnya, berapa banyak tamunya dan lain-lain perkara, kerana seni bina merupakan karya berbentuk tiga dimensi yang perlu kelihatan indah dilihat dari pelbagai sudut.

Seni bina Islam mempunyai persamaan dan kesinambungan bentuk-bentuk dan ciri-cirinya. Terdapat berbagai-bagai jenis binaan atau bangunan Islam sama ada yang berbentuk keagamaan mahupun yang berbentuk sekular.

CIRI CIRI SENI BINA ISLAM
Antara ciri seni bina Islam, yang pertama ialah mementingkan unsur-unsur pengadilan cahaya dan udara.Ini sangat penting khususnya dalam pembinaan masjid.Ini kerana untuk memudahkan umat Islam menjalani ibadah dengan selesa dan sempurna bagi persekitaran.Kedua ialah seni khat atau kaligrafi sebagai hiasan.Ini kerana bentuk tulisannya unik dalam seni bina Islam dan kelihatan indah sekiranya diwujudkan dalam setiap bangunan yang berbentuk keagamaan.Ketiga, memisahkan ruang lelaki dan perempuan.Sebagai contoh mudah, dalam pembinaan masjid hendaklah dipisahkan ruang solat bagi lelaki mahupun perempuan.Hikmahnya ialah sudah tentu untuk mengelakkan pergaulan bebas di tempat yang mulia dan maksiat di antara mereka.Keempat ialah mengambil kira faktor keadaan dan iklim untuk memudahkan umat Islam menjalani ibadah.Kelima ialah mementingkan seni keselamatan.Dalam pembinaan seni Islam, keselamatan juga amat penting untuk memastikan pembinaan selamat untuk digunakan.Kelima, harmonis iaitu boleh digunakan oleh semua peringkat umur dan bersifat harmoni.Keenam ialah mementingkan kesederhanaan dalam setiap seni bina Islam.Akhir sekali bersifat praktikal.

JENIS JENIS SENI BINA ISLAM
Terdapat beberapa jenis seni bina Islam.Menurut Ghazali Darusalam menyatakan, bahawa seni bina Islam sebenarnya ada tiga jenis, pertama ialah
bangunan awam (Imarah Madaniyah)iaitu dalam perancangan bandar, bangunan dan pertamanan.Kedua, bangunan keagamaan (Imarah Diniyah) seperti masjid.
Ketiga ialat bangunan ketenteraan (Imarah Harbiyah) seperti pembinaan benteng-benteng, kubu-kubu dan menara pertahanan.
CONTOH CONTOH SENI BINA ISLAM
Masjid
Dalam seni bina Islam, perkara utama yang dititikberatkan dalam seni bina Islam ialah mendirikan masjid sebagai bangunan tempat ibadah.Masjid yang dibina juga hendaklah menggambarkan ciri-ciri kesepaduan bangunan selaras dengan fungsi masjid yang secara langsung menetapkan unsur seni bina Islam berpandukan prinsip-prinsip yang ditentukan oleh Allah S.W.T yang mesti dilaksanakan sebaik-baiknya. Oleh yang demikian, selari dengan perkembangannya, maka muncul berbagai-bagai-bagai unsur penambahan keindahan yang berupa kelengkapan, hiasan dan penyertaan gaya dekoratif-ornamentif yang selanjutnya menjadi unit penting seni bina masjid.Kreativiti umat Islam dalam bidang ini telah berjaya memukau dunia dengan keindahan yang tiada tolok bandingnya. Di antara contoh-contoh bentuk seni bina Islam yang dapat ditatap hingga ke hari ini ialah Masjid.Berbicara tentang seni bina Islam, sejarah telah membuktikan bahawa masjid adalah asas bermula seni tersebut.Terdapat beberapa contoh masjid yang boleh dilihat.

 Masjid Quba
Seni bina masjid berkembang dengan terbinanya pada tahun pertama Hijrah (622 T.M) Masjid Quba, iaitu masjid pertama yang didirikan oleh Nabi Muhammad a.s.w selepas baginda berhijrah ke Madinah.Seni bina masjid itu amat ringkas dan sederhana, sesuai dengan ajaran Islam yang mengutamakan pembentukan akhlak, tanggungjawab beribadah dan soal-soal lain yang berkaitan dengan kebudayaan.Selain untuk bersolat, masjid Quba juga menjadi tempat bermesyuwarah. Masjid Quba didirikan di atas tanah lapang dan mempunyai ruang sembahyang yang dilingkungi tembok yang diperbuat daripada tamar, berbentuk segi empat dengan keluasan kira-kira 50 meter persegi. Tinggi dindingnya adalah kira-kira 3.5 meter. Di sebelah baratnya didirikan lindungan (al-mizallah) yang diperbuat daripada batang tamar yang diikat dengan tanah liat. Di penjuru tenggaranya dibina sembilan bilik yang menjadi tempat kediaman Nabi Muhammad s.a.w dan keluarganya.

Masjid pertama itu mempunyai bumbung di bahagian tepi (serambi keliling) atau ruang riwaqs (cloister). Bumbung serambi yang beratap daun tamar disokong oleh sebilangan tiang yang diperbuat daripada batang tamar, Masjid tersebut mempunyai sebuah mimbar yang diperbuat daripada batang tamar.

Masjid Nabawi
Setelah terdirinya Masjid Quba, Nabi Muhammad s.a.w meneruskan perjalanannya ke Madinah atau dikenali ketika itu sebagai Yathrib.Di sini, Nabi Muhammad s.a.w telah meminta para sahabatnya membina sebuah masjid yang kemudiannya dinamakan Masjid Nabi atau Nabawi dan kadangkala disebut Masjid Besar.Pembinaan masjid ini masih terikat kuat kepada kehendak fungsional agama Islam wakti itu.Seni binanya sederhana, berbentuk segi empat, mempunyai halaman dalam atau shaandan sebahagian lagi ialah bangunan yang berbumbung di sekeliling bangunan atau riwaqs.Seni bina asal Masjid Nabawi berasaskan seni bina Masjid Quba.Perkembangan kemudiannya pada kedua-dua masjid itu menampakkan unsur-unsur yang diilhamkan daripada bangunan Masjidil Haram di Mekah.Dalam tahun 700 T.M., Masjid Nabawi diperbaharui atas perintah Khalifah Walid Abdul Malik (705-15 T.M).Kemudiannya bangunan Masjid Nabawi disambungkan dengan bangunan Makam Rasulluah s.a.w. dan seterusnya empat buah menara dibina serta kubah berbentuk potong bawang.Kerja pembesaran masjid ini siap pada tahun 1955 T.M. dan pembesaran selanjutnya berakhir pada pertengahan tahun 1980-an. Hari ini, Masjid Nabawi berdiri tersegam indah sebagai satu contoh seni bina Islam.

Masjidil Haram
Seni bina Masjidil Haram merupakan asas yang diikuti dalam pembinaan semula Masjid Quba, Masjid Nabawi dan juga pembinaan masjid lain pada zaman pemerintahan khalifah selepas nabi wafat, seperti Masjid Kufa (633-39 T.M), Masjid Ibnu Tulun Mesir (876-79 T.M), Masjid Cordoba, Andalusia (Sepanyol) (785 T.M) dan masjid lama yang lain. Oleh sebab Islam pada ketika itu lebih menekankan sistem tingkah laku yang berasaskan akidah dan etika, maka aspek seni yang berlandaskan estetik masih belum merupakan soal pokok.Pada masa itu, bentuk seperti gerbang kubah (iwan) dan lain-lain yang berlandaskan estetik masih belum diperkenalkan kepada seni bina masjid seperti yang berlaku pada seni bina masjid ada abad ketiga belas dan berikutnya. Pada tahun 1970-an dan 1980-an ruang serambi Masjidil Haram di perbesarkan lagi dan pada tahun 1991, di ruang serambi Masjidil Haram yang berhubung itu telah dipasang alat penyaman udara untuk keselesaan jemaah.

Fungsi Masjid Pada Zaman Rasulullah
Antara fungsi masjid pada zaman Rasulullah adalah sebagai tempat Rasulullah s.a.w. menerima wahyu dan merupakantempat menunaikan ibadah solat.Selain itu masjid juga merupakan tempatmenyampaikan segala maklumat dan menyelesaikan masalah-masalah yang berhubung dengan kemasyarakatan.Seterusnya masjid merupakan tempat yang dijadikan Baitulmal untuk menyimpan sumber kewangan, misalnya zakat serta tempat merawat sahabat-sahabat yang cedera dalam peperangan.
Kemudiannya, merupakan tempat menjalankan aktiviti pendidikan.dan tempat menjalankan pentadbiran negara Akhir sekali masjid berperanan sebagaitempat membicarakan kes-kes serta menjatuhkan hukuman

Madrasah/Tempat Pengajian
Institusi-institusi pendidikan juga merupakan peninggalan bersejarah dalam seni bina Islam. Pendidikan Is¬lam di peringkat awal memang dijalankan di masjid-masjid tetapi lama kelamaan madrasah di bangun dalam bentuk tersendiri sesuai dengan keadaan dan fungsinya.Atas inisiatif bangsa Saljuk, pada akhir abad 5H (11 M) beberapa buah sekolah pada mas a itu dibina untuk tujuan menyebarkan Mazhab Sunni. Sekolah ini mempunyai halaman dan dilengkapi dengan empat buah bilik yang besar (Diwan al¬Qiblat). Ia juga dilengkapi denganasrama para pelajar, tempat minum, tempat wudhu dan kolam untuk ternakan.

Wakaf
Ada yang didirikan oleh pihak pemerintah dan ada yang dibina oleh perseorangan yang berada.Fungsi wakaf ialah sebagai tempat istirehat para pengembara dan tempat mereka bersembahyang bila tiba waktunya.

Istana
Pembangunan fizikal yang melibatkan seni bina Islam terus berkembang dari semasa ke semasa dengan silih bergantinya khalifah dalam sistem pemerintahan Islam.Kedudukan istana adalah terletak di tengah-tengah pusat pentadbiran dan bangunan askar persendirian.Ia berfungsi sebagai simbol kekuasaan, pemerintahan, kebanggaan dan keagungan.Biasanya ia berbentuk segi empat tepat dengan dikelilingi oleh dinding-dinding yang tinggi. Sesetengah istana mempunyai menara yang berbentuk bulat memagarinya.Misalnya, istana Mshatta yang dibina kira-kira tahun 743 merupakan struktur seni bina Umayyah. Contoh lain yang berkaitan dengan seni bina istana ialah pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyyah, di tengah-tengah kota Baghdad terdapat Dar al-Khalifah iaitu suatu kawasan eksklusif yang besar dan indah. Di dalamnya terdapat istana khalifah Abu Ja'afar aI-Mansur yang berbentuk dua tingkat.Tingkat atas terdapat sebuah ruangan luas, digunakan untuk khalifah bermesyuarat dengan pembesar-pembesar kerajaan sedangkan di tingkat bawah pula terdapat ruang-ruang tamu.Istana ini mempunyai kubah hijau setinggi 40 meter tingginya dari permukaan tanah.Pada puncaknya berdiri arca seorang pahlawan berkuda sedang menghayunkan lembing yang dibuat daripada perunggu dan boleh berputar-putar.

Tugu/Kota/Tembok

Digunakan sebagai benteng pertahanan kota-kota Islam daripada serangan pihak musuh.

KESIMPULAN

Islam telah merumuskan bahawa seni Islam ialah ciptaan bentuk yang mengandungi nilai estetik yang berpadu kepada nilai etika Islam.Sekalipun kesenian tiada hubungannya dengan agama Islam melainkan dengan kebudayaan Islam.Namun disebabkan kebudayaan yang tertakluk pada agama, maka disebabkan itu jugalah kesenian tertakluk dan dikendalikan oleh agama.Agama telah mengariskan syariat yang wajib ditempuh oleh kebudayaan di mana menyuruh melakukan “Amar ma’ruf, nahi mungkar”.oleh itu dengan tertakluknya kesenian kepada agama, bermakna tertakluknya nilai estetika kepada nilai etika. perpaduan diantara nilai estetika dan nilai etika merupakan asas di atas mana-mana gagasan Islam tentang kesenian.

Bibliography
Ahmad, A. A. (2010). Masjid Budaya Dan Seni Bina. Shah Alam, Selangor Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), UiTM 2010.
Ahmad, M. Z. (n.d.). Sejarah Islam. Oxford Fajar.
Nasir, A. H. (n.d.). Seni Bina Masjid Di Dunia Melayu Nusantara.
Rasdi, M. T. (2013). Pemikiran Seni Bina Islam Moden Di Dunia & Malaysia. UTM Press.
Sarawak, J. M. (n.d.). Official Website Of Sarawak Museum Department. Retrieved from Koleksi Seni Bina : http://www.museum.sarawak.gov.my/index.php/ms/koleksi/seni-islam


Pensyarah: Abd Aziz bin Harjin
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com



No comments:

Post a Comment