Wednesday, October 14, 2015

Tajuk: Ibrahim Al-Fazari Al-Munajjam Seorang Tokoh Astronomi

PENDAHULUAN

Definisi Astronomi
Dari Segi Bahasa dan Istilah :Astronomi dari segi bahasa etimologi membawa maksud peraturan bintang yang merupakan cabang sains yang melibatkan pembelajaran jasad cakerawala seperti bintang, planet, komet-komet, nebula, gugusan bintang dan galaksi yang menghasilkan fenomena-fenomena yang berasal dari luar atmosfera bumi. Astronomi adalah istilah yang berasal dari bahasa Inggeris astronomy merupakan perkataan Yunani, iaitu astro(star atau bintang) dan -nomy daripada nomos (law/culture/peraturan) membawa maksud peraturan bintang - "law of the stars". Selain itu, astronomi juga sering dikaitkan dengan astrofizik. 

Menurut Islam : Ilmu astronomi juga dikenali sebagai ilmu falak menurut Islam. Falak’ berasal daripada perkataan Arab, bermaksud bulatan langit, lengkung langit, cakerawala. ‘Ilmu’ pula juga berasal daripada perkataan Arab, bermaksud pengetahuan, kepandaian, kepakaran, keahlian, kemahiran, kebijaksanaan, kepintaran, pelajaran, pendidikan, seni, sains. Al-Quran menggunakan perkataan ‘falak’ yang ditafsirkan sebagai garis peredaran, atau sebutan kini ‘orbit’. 

 Beberapa tokoh dan sarjana Islam memberikan definisi kepada ilmu ini. Salah seorang daripadanya ialah As Shafa yang mendefinisikan ilmu astronomi ini sebagai ilmu untuk mempelajari suria, bintang, buruj, jarak, saiz dan gerakan jasad-jasad. Di samping itu, tokoh sarjana Islam yang turut mendefinisikan ilmu astronomi atau ilmu falak ini adalah Ibnu Khaldun. Beliau mendefinisikan ilmu astronomi adalah ilmu yang berkaitan dengan gerakan dan peredaran bintang-bintang yang tetap. Dari gerakan dan peredaran bintang ini dapat diketahui bentuk dan kedudukannya melalui hitungan gerakannya yang dapat dilihat dengan cara metrik. 

Astronomi di dalam Al-Quran
Al-Quran telah menjelaskan bahawa seluruh kandungan alam semesta penuh dengan tanda-tanda kekuasaan Allah, dan hanya manusia yang berilmu sahaja yang dapat mengamati dan memahaminya. Astronomi mempunyai hubungan yang sangat erat dengan masalah-masalah ibadah seharian dalam Islam. Perkara ini diterangkan dengan terperinci di dalam ilmu falak syarie. Ilmu ini menjelaskan tentang kemajmukan langit dan bumi dan juga merupakan salah satu ilmu yang tertua daripada semua ilmu pengetahuan alam. 

Al-Quran memberikan perhatian khusus terhadap ilmu Astronomi. Banyak ayat-ayat al-Quran menceritakan perihal Astronomi. Ia memberi ruang kepada manusia untuk menghayati kebesaran Allah yang jelas terbukti dari wujudnya bintang-bintang, planet-planet, matahari dan bulan dengan segala bentuk dan sifatnya. 

Terdapat beberapa potongan ayat Al-Quran yang menceritakan berkaitan keindahan ilmu astronomi :
• Al-Quran menuntut manusia supaya memerhati langit, firman Allah Subhanahu wa ta’ala . dalam surah Qaaf; ayat ke 6 :

 Maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka, bagaimana kami membinanya (dengan rapi) serta Kami menghiaskannya (dengan bintang-bintang) dan dengan keadaan tidak ada padanya retak renggan sedikit pun?. 

Penciptaan Langit Sebagai Satu Entiti :
Keserasian dan kesempurnaan ciptaan Allah menurut al-Quran adalah sebagai lambang bagi tanda-tanda kekuasaan Allah, sesuai dengan firmannya dalam beberapa surah mengenai ciptaan 7 lapisan langit. Angka 7 tersebut merupakan suatu angka yang simbolik. 
Maksud firman berikut menerangkan parihal penciptaan langit:

• Surah al-Mulk; ayat 3-4:
 “Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis, engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah yang maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah: (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan (mu).. dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?”
• Surah al-Baqarah; ayat ke 29:
 “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna, dan Ia maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ”

BIODATA Ibrahim al-Fazari al-Munajjam

Ibrahim al-Fazari al-Munajjam merupakan tokoh yang hebat dalam bidang astronomi dan matematik yang paling awal di dalam dunia Islam. Nama sebenar beliau ialah Abu Abdallah Muhammad ibn Ibrahim ibn Habib al-Fazari. Ayahnya bernama Ibrahim Al-Fazari yang juga merupakan seorang tokoh astronomi dan matematik yang terkenal. Al-Farazi menetap serta berkarya di Baghdad, Irak, ibu kota kekhalifahan Abbasiyah. 

Muhammad bin Ibrahim al-Fazari bersama ayahnya, Ibrahim al fazari, merupakan seorang ahli matematik dan astronomi di istana khalifah Abbasiyah, di era khalifah Harun al-Rasyid. Ia menyusun berbagai jenis penulisan astronomi. 

SUMBANGAN Ibrahim al-Fazari al-Munajjam
Sepanjang kebersamaannya dengan Ya’qub ibn Thariq dan ayahnya, beliau membantu menterjemahkan teks astronomi India oleh Brahma gupta (abad 7 M), Brahma Sphuta Siddhanta, ke dalam bahasa Arab sebagai Kitab al-Zij `Ala Sini al-`Arab (Tabel Astronomi Berdasarkan Penanggalan Bangsa Arab) atau kitab Sindhind. Buku Zīj al-sindhind adalah karya yang terdiri dari 37 simbol pada kiraan kalender astronomi dan 116 tabel dengan kalender, astronomi dan data astrologi sebaik data yang diakui sekarang. 

Kitab ini dipersembahkan oleh Mauka seorang ahli ilmu bintang yang didatangkan dari India. Buku ini menjadi panduan utama kepada orang-orang Arab dalam pengkajian ilmu falak hingga ke zaman al-Makmun. Buku terjemahan al-Fazari itu telah disalin sebahagiannya ke dalam bahasa Latin pada abad pertengahan oleh Johannes de Luna Hispakusis. Buku terjemahan itu telah dipergunakan oleh Universiti Eropah untuk mengajar ilmu bintang. Dari sinilah orang-orang Barat mula mengetahui benda-benda di cakerawala. 

Menurut Ehsan Masood, penterjemahan Sindhind sangat berharga. Bukan hanya kerana wawasan astronominya tapi juga sistem penomboran India, Kalpa Aharganas dengan pengiraan tahun Hijrah Arab. Al Fazari menunaikan tugas dengan baik. Ungkap Ehsan Masood dalam bukunya "Ilmuwan Muslim Pelopor Hebat di Bidang Sains Modern", saat itu telah menguasai astronomi sehingga di bawah arahan khalifah langsung beliau mampu menerjemahkan dan menyadur teks astronomi India kuno yang sangat teknis tersebut. Selain itu, karya al Farazi telah mencantumkan daftar negara-negara di dunia dan dimensinya berdasarkan perhitungan tabel. Hasil kerja Al Farazi melalui penterjemahan mengenalkan sistem penomboran tersebut ke dunia Arab. 

Sehubungan itu, al-Fazari juga telah menghasilkan buku-buku panduan yang lain dalam membantu ahli falak dalam usaha mempertingkatkan kajian bidang astronomi. Antara buku ilmiah dalam bidang astronomi hasil beliau selain Kitab al-Zij `Ala Sini al-`Arab adalah Kitab al-Qasidah Fi ‘Ilm al-Nujum dan Kitab al-Miqyas lil Ziwal. Seterusnya, beliau turut menghasilkan jadual-jadual yang sayngat berguna dalam bidang ilmu falak. 

Di samping itu, Al-Fazari menerjemahkan beberapa literatur asing ke dalam bahasa Arab dan Persia. Bersama dengan beberapa cendekiawan lain seperti Naubakht, dan Umar ibnu al-Farrukhan al-Tabari, beliau telah meletakkan dasar-dasar ilmu pengetahuan di dunia Islam. Antara ciptaan beliau yang paling terkenal di zaman teknologi Islam ialah Astrolab. 

ASTROLAB
Astrolab planisferis merupakan mesin menghitung analog pertama, difungsikan sebagai alat membantu astronomi untuk menghitung waktu terbit dan tenggelam serta titik kedudukan matahari dan bintang serta benda langit lainnya pada waktu tertentu. Astrolab menjadi instrument paling penting yang pernah dibuat. Astrolab menjadi instrument dalam penentu posisi pada pertengahan abad. 

Astrolab merupakan model alam semesta yang boleh digenggam sekaligus jam matahari untuk mengukur tinggi dan jarak bintang. Chaucer dalam “Treatise in the Astrolabe” menyatakan bahawa Astrolab kemudian menjadi alat navigasi utama, hanya dalam beberapa bulan setelah ditemukan Astrolab oleh Al Farazi, kemajuan astronomi meningkat cepat. 
Selain daripada itu, astrolab memainkan peranan penting dalam pencapaian bidang astronomi oleh umat Muslim. Seorang astronomer bernama al Sufi berhasil memanfaatkannya dengan baik. Al Sufi mampu menghasilkan astrolab yang berfungsi dalam pelbagai bidang yang berbeza seperti astronomi dan astrologi. Ianya dapat digunakan termasuk meramalkan kedudukan matahari, bulan, planet, dan bintang-bintang. Dalam dunia Islam, astrolab digunakan untuk menentukan waktu matahari terbit dan naik dari bintang-bintang, dalam membantu menentukan arah kiblat dan mengenal pasti jadual solat. 

Pada abad ke-13, karya ini ditemukan kembali oleh penjelajah dan ahli geografi Muslim bernama Yaqut al-Hamawi dan al-Safadi. Keghairahan dan kemahuan para sarjana Muslim belajar daripada tradisi ilmu lain serta sokongan penuh dari pemerintahan menjadi kunci keberhasilan dalam memajukan ilmu pengetahuan di dunia Islam. Antara astrolab bertarikh terawal yang masih bertahan bertarikh 315H (927/8 M). 

CADANGAN DAN KESIMPULAN
Rumusan daripada keseluruhan tajuk Abu Abdallah Muhammad ibn Ibrahim ibn Habib al-Fazari, terdapat beberapa pengajaran yang boleh diperolehi melalui kisah - kisah beliau. Antaranya, kita dapat memahami konsep perjuangan Islam yang sebenar. Jika ada yang menganggap perjuangan Islam adalah peperangan semata-mata, maka menjadi tugas kita untuk memperbetulkan salah faham itu bahawa pada hakikatnya peperangan hanyalah bentuk jihad yang diwajibkan untuk mempertahankan diri dan maruah dalam keadaan dizalimi, dimusuhi atau dihalangi daripada berdakwah. Oleh itu, perjuangan Islam umat Islam juga perlu memahami konsep jihad dalam pengertian yang luas dan tepat. 

Jika kita menghayati betul-betul kisah atau sirah dari tokoh Islam yang hebat ini ilmu juga termasuk dalam katogeri jihad. Hal ini kerana, ilmu sangat penting dalam kehidupan umat manusia. Dengan mementingkan, seseorang itu dapat menyelamatkan diri dari bahaya dan khianat manusia selain dapat menyenangkan urusan kehidupan seharian. Contoh tokoh yang boleh kita jadikan idol selain Rasulullah ialah Ibrahim al-Fazari al-Munajjam. 

Beliau adalah tokoh Islam yang sangat mementingkan ilmu. Dengan berkat ilmu beliau, beliau berjaya mencipta alat yang memudahkan urusan kehidupan seharian. Antaranya, astrolab. Kegunaan astrolab adalah untuk menghitung waktu terbit dan tenggelam matahari serta titik kedudukan matahari dan bintang serta benda langit lainnya pada waktu tertentu. Di samping itu, kegunaan lain astrolab dalam dunia Islam ialah untuk menentukan waktu matahari terbit dan naik dari bintang-bintang, dalam membantu membuat jadual solat. 

Seterusnya, beliau juga berjaya menjalankan tugas dengan baik apabila beliau dapat menterjemah kitab Sindhind ke dalam bahasa Arab Az-Zij ‛ala Sini al-‛Arab(Tables of the disks of the astrolabe) yang dipersembahkan oleh Mauka seorang ahli ilmu bintang yang didatangkan dari India. Buku ini menjadi panduan utama kepada orang-orang Arab dalam pengkajian ilmu falak hingga ke zaman al-Makmun. Selain daripada kitab Sindhind, beliau turut menghasilkan beberapa buku panduan berkaitan ilmu astronomi bagi rujukan para umat manusia iaitu Kitab al-Qasidah Fi ‘Ilm al-Nujum dan Kitab al-Miqyas lil Ziwal. 

Jika kita amati betul-betul kisah mengenai tokoh ini, astronomi memberi ruang kepada para penyelidik dan ilmuan yang mendalaminya bagi meningkatkan darjah keimanan. Para tokoh dan sarjana Islam terdahulu, menggunakan kelebihan ilmu yang mereka ada dengan mencipta sesuatu benda bagi memudahkan umat manusia. Akan tetapi, saintis atau paling tepat sekali orang-orang yang bijaksana pada zaman sekarang kebanyakan menggunakan kelebihan yang mereka ada untuk mencipta sesuatu benda hanyalah semata-mata demi mendapat pujian daripada makhluk Allah atau ada di antara mereka yang mencipta benda-benda canggih kerana ingin menjatuhkan sesuatu umat manusia yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa umat manusia zaman sekarang kurang sifat kasih sayang sesama umat dan mempunyai sifat tamak yang menguasai diri. 

Akhir sekali, orang Islam seharusnya berganding bahu memulihkan imej mereka di mata dunia dan mampu pula menjadikan mereka umat yang terbaik. Dengan segala kekayaan yang ada pada bumi Islam, orang Islam mampu untuk berusaha dan bekerjasama untuk menghasilkan teknologi yang diperlukan. Oleh itu, orang Islam perlu kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam yang murni tersebut. Islam sangat menekankan supaya kebesaran Allah itu dapat dihayati dengan memerhati dan mengkaji alam ini. Akhir sekali, marilah kita bersama-sama berjihad ke jalan Allah untuk menegakkan agama Islam dan untuk memelihara kesucian agama Islam. 

BIBLIOGRAFI

1. Masood, E. (2015). Science and Islam. London: Bloomsbury Academic
2. Al-Quran, Y. P. Al-Quran dan Terjemahan Rasm Uthmani. Jakarta. 
3. Rahman, S. A. (2011). 25 Cendekiawan Islam oleh Shafie Abdul Rahman. Kuala Lumpur: Must Read Sdn Bhd. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment