Monday, October 12, 2015

(Kemasyarakatan Dalam Ajaran Islam)

Oleh : Amirun Aiman Bin Amran

PENGENALAN

Islam telah melahirkan antara tamadun manusia yang terunggul di dunia. Tamadunpada mulanya berasaldaripada pedagang Arab iaitu madana, mudun, madain yang bererti masyarakat yang mempunyai kemajuan dari segi lahiriah, batiniah, intelek jasmaniah dan rohaniah atau pembukaan bandar. Perkataan tamadun boleh diertikan kepada keadaan hidup bermasyarakat yang bertambah maju di sesebuah kawasan atau tempat kediaman. Istilah-istilah lain yang sama maksudnya dengan tamadun atau nama lain untuk tamadun ialah hadarah, umran, madaniyah. Dari segi bahasa Inggeris pulamaksud yang hampir sama dengan tamadun ialah culture dan civilization atau kebudayaan dalam bahasa Melayu pula. Perkataan civilization dalam bahasa inggeris berasal daripada bahasa Greek civitas yang bermaksud bandar. Para sarjana telah membahas persamaan dan perbezaan istilah-istilah tersebut. Istilah Tamadun banyak digunakan dalam penulisan Tamadun Islam. 

Masyarakat Islam ialah kelompok manusia yang beragama Islam yang mengamalkan ajaran agama Islam iaitu melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Masyarakat ini tinggal atau menetap bersama-sama orang yang bukan Islam juga dalam suatu kelompok yang dipanggil masyarakat. Masyarakat ini melaksanakan kehidupan berlandaskan nilai- nilai Islam. Dalam Islam, mendirikan sesuatu masyarakat yang melaksanakan nilai-nilai keislaman merupakan suatu kewajipan yang terletak di atas bahu semua orang Islam. 

Usaha membangunkan sesebuah tamadun manusia sememangnya bukan suatu usaha yang mudah. Ianya memerlukan beberapa gabungan kekuatan dan kemahiran dalam rangka untuk menjayakannya samada ianya berbentuk sumber pembentukan tamadun, pedoman dalam membentuk sesebuah ketamadunan, individu-individu yang terlibat dalam pembangunan sesebuah tamadun, kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai dalam membina tamadun dan sebagainya. 

Apabila membicarakan soal pembangunan ketamadunan, maka apa yang paling penting adalah soal membangunkan sesebuah tamadun yang sempurna, bukan sekadar membangunkan sesebuah tamadun secara sambil-lewa. Misalnya, pembinaan sesebuah rumah yang sempurna adalah tujuan utama sesebuah pembinaan, bukan semata-mata membina sebuah rumah kerana, membina sebuah rumah yang tidak kualiti itu ibarat menyediakan kemusnahan bagi penghuninya. 

Maka, fahamlah kita bahawasanya, membangunkan tamadun yang tidak sempurna sudah tentu akan membawa kepada penghuninya terdedah kepada risiko kemusnahan. Oleh yang demikian, manusia sememangnya memerlukan pedoman dalam membangunkan sesebuah tamadun yang sempurna, di samping kemahiran yang dimiliki untuk membangunkannya. 

proses pembentukan

Kelahiran dan perkembangan tamadun Islam, masyarakat Islam adalah masyarakat penama yang pertama terbentuk yang didirikan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat di Madinah sebaik sahaja baginda berhijrah dari Makkah pada tahun 622 Masihi. Rasulullah SAW kemudian membentuk sebuah negara Islam pertama melalui penggubalan Piagam Madinah (Sahifah Madinah). Umat Islam di bawah kepimpinan Rasulullah SAW pada ketika itu telah melaksanakan tugas mendirikan masyarakatyang berlandaskan konsep Islam dengan cekal, gigih dan jujur walaupun telah ditentang oleh banyak pihak sehinggkan ada di antara mereka terpaksa mengorbankan nyawa mereka sendiri sehingga berjaya membentuk sebuah masyarakat yang ideal dan menjadi contoh serta model bagi masyarakat selepasnya hingga kini. 

Dalam proses pembentukan masyarakat Islam, ia didasarkan kepada ilmu tentang asas-asas ajaran Islam. Ianya berasakan syariah iaitu undang-undang Islam yang merupakan garis panduan terpenting. Untuk itu, akhlak perlulah ditanam dalam pembinaan sesuatu masyarakat dan kegagalan untuk menerapkan amalan ini akan mengucar-kacirkan sesuatu masyarakat. Melalui akhlak, pembentukan peribadi Muslim merupakan tonggak masyarakat yang cemerlang dan ia akan menentukan kestabilan serta keharmonian sesebuah masyarakat. Di sini, Allah s. w. t. mengingatkan bahawasanya, kesempurnaan sesebuah masyarakat bergantung kepada kesempurnaan akhlak yang dimiliki oleh individu-individunya. Oleh kerana kepentingan ini, Allah s. w. t. mengutuskan seorang Rasul yang mampu dijadikan sebagai contoh untuk seseorang itu menyempurnakan akhlaknya. Hal ini sebagaimana Allah s. w. t. menjelaskan kedudukan Rasulullah s. a. w. dengan berfirman:

“Sesungguhnya kamu (Muhammad) mempunyai akhlak yang agung” (Surah Al-Qalam :4). 

Maka, kita sebagai individu dalam masyarakat Islam perlu mencontohi akhlak Rasulullah s. a. w.  Ia sebagai kunci keberkesanan pembentukan diri iaitulah dengan konsep mencontohi dalam berakhlak mulia. 

Selain itu, ibadah juga amat penting kepada pembentukan sesuatu masyarakat dan pembinaan tempat peribadatan juga amat dititikberatkan Imam al-Ghazali di dalam bukunya Ihya 'Ulum al-Din menegaskan bahawa Islam tidak menggalakkan umatnya memencilkan diri untuk beribadat dan meninggalkan tuntutan mencari ilmu sama ada bagi kegunaan diri sendiri iaitu fardu ain ataupun kegunaan masyarakat laitu fardu kifayah. Persaudaraan merupakan suatu ikatan antara seseorang individu dengan individu lain termasuk aspek bantu-membantu dan bekerjasama dalam semua perkara. 

Masyarakat yang baik juga ialah merupakan masyarakat yang berilmu pengetahuan. Islam amat menggalakkan umatnya untuk menuntut ilmu dan ini ternyata seperti mana yang disebutkan dalam Al-Quran. Allah menggalakkan agar individu menggunakan daya intelek atau akal fikirannya untuk mempertingkatkan kehidupannya. Akal fikiran perlu digunakan bukan sekadaruntuk melihat sesuatu secara kasar tetapi perlu benar-benar memahami dan mendalaminya. Ilmu merupakan elemen terpenting yang memangkinkan pergerakan manusia untuk melakukan penelitian, pengkajian dan menghasilkan penemuan baru atau teknologi. Pencapaian-pencapaian ini merupakan puncak keupayaan akal dan kejayaan manusia untuk membentuk sesuatu ketamadunan bagi memenuhi keperluan kehidupan manusia dan makhluk-makhluk sekitarnya. Maka untuk itu, umat Islam perlu menghayati dengan sebenarnya tuntutan Islam dalam mencari ilmu. Jadi masyarakat yang berilmu merupakan salah satu asa kepada masyarakat yang harmoni. Individu- individu yang berilmu akan membentuk masyarakat yang cemerlang manakala individu yang jahil akan menggagalkan proses pembangunan masyarakat. Justeru, masyarakat yang gemilang merupakan representasi individu yang berilmu. 

Setiap dari asas-asas yang dibicangkan itu saling berhubungkait dan melengkapi satu sama lain dalam proses pembentukan peribadi muslim dan seterusnya menentukan pembentukan sesuatu masyarakat Islam. 

Masyarakat islam di atas akidah
Akidah yang menjadi asas binaan masyarakat Islam ialah akidah: “La Ilahaillallah Muhammadur Rasulullah”. Erti terbinanya masyarakat Islam di atas asa tersebut ialah;ia terbina berdasarkan penghormatan dan pemurniaan terhadap akidah ini, berusaha untuk memantapkannya di dalam akal dan hati manusia, mendidik tunas-tunas Islam denganna, menangkis segala kebatilan golongan pendusta serta keraguan golongan yang menyesatkan serta merealisasikan kebaikan dan kesannya di dalam kehidupan individu dan masyarakat. Ia dilakukan melalui alat-alat penyebaran maklumat yang mampu mempengaruhi perjalanan hidup masyarakat umpamanya masjid, sekolah, akhbar, radio, televisyen dan filem serta sebagainya. 

Terbinanya masyarakat Islam di atas akidah Islam tidak bermakna memaks orang-orang bukan Islam agar meninggalkan akidah mereka. Tidak sama sekali begitu. Ia tidak pernah terlintas didalam pemikiran umat Islam sebelum ini atau pada masa akan datang kerana Al-Qyran telah memutuskan perkara ini sejak dahulu apabila ia telah mengisytiharkan dengan terus terang:

“Tidak ada paksaan di dalam beragama, sesunggyhnya telah nyata jalan yang benar dari jalan yang seat. ” (al-Baqarah:156)
Sejarah telah membuktikan bahawa masyarakat Islam di zaman-zaman kegemilangannya merupakan masyrakat yang paling bertolak ansur terhadap golongan yang berbeza akidah dengannya. Ini diakui oleh orang-orang bukan Islam sendiri. 

Maksud terbinanya masyarakat di atas asa akidah Islam ialah;ia bukanlah masyrakat yang terbiar sebaliknya ia sebuah masyarakat yang beriltizam dengan akidah Islam. Ia juga bukan masyarakat Materialis, Sekularis, Animisma, Yahudi atau Nasrani dan juga bukan masyarakat Sosialis Marxis. 

Sebaliknya ia adalah masyarakat yang berpegang dengan akidah tauhid, akidah Islam. Akidah Islam adalah unggul dan tidak diungguli oleh fahaman atau ideology lain. Akidah Islam tidak rela untuk dipinggirkan dari kehidupan masyarakat dan disaingi oleh akidah yang lain yang mengubah pandangan manusia daripada Allah, manusia serta kehidupan. 

Bukanlah namanya masyarakat Islam jika ia menggantikan”Allah” dengan”tabiat (nature)”di dalam arahan hidupnya. Lantas mereka menyangka sungai-sungai adalah kurniaan alam, hutan belantara adlah anugerah alam dan alamlah yang menjadikan setiap sesuatu serta mengembangkannya. Mereka menyangka bukanla Allah yang menjadikan setiap sesuatu, memiliki setiap sesuatu dan mentadbir segala urusan. 

Pandangan masyarakat Barat terhadap ketuhanan dan hubungannya dengan alam ialah Allah menjadikan alam lalu ditiggalkannya. Mereka menganggap Allah tidak mengaturnya, tidak mengawasinya dan tidak menguruskannya. Perkara ini adalah seumpama ciplakan dari gambaran falsafah Yunan terhadap Tuhan terutamanya falsafah “Aristhoteles”yang tidak mengenal tuhan sama sekali melainkan mengenal zatNya sahaja. Menurutnya, Tuhan tidak mentadbir alam serta tidak mengetahui kebaikan dan keburukan yang ada padanya. Falsafah”Plato”pula kelihatan lebih aneh dari itu. Ia beranggapan Tuhan tidak dapat dikenali sama sekali sehinngalah dikenali zatNya. 

Akhlak dan kesopanan
Selain dari mempunyai keistimewaan dari segi akidah, syiar, kefahaman, dan perasaan masyarakat Islam juga berkeistimewaan dari segi akhlak dan kesopanannya. 

Akhlak dan kesopanan adalah juzuk yang tulen dari struktur binaan masyarakat Islam. Ia adalah masyarakat yang adil, ihsan, kebajikan, kerahmatan, kebenaran, amanah, cinta kebaikan, mendahulukan kepentingan orang lain, berbuat baik kepada semua makhluk terutama ibu bapa, menyeru manusia ke arah kebaikan, amar ma’ruf nahi munkar…. . serta sifat mulia, ciri-ciri terhormat dan budi pekerti yang luhur. Ikhlas kepada Allah SWT, bertaubat kepadaNya, menyerah diri kepadaNya, rasa takut dan berharap kepada kerahmatanNya, mengagungkan syiar-syiarNya, prihatin kepada keredahanNya serta berwaspasa dari kemurkaanNya dan lain-lain lagi nilai Rabbani yang dialpakan oleh kebanyakan manusia apabila mereka berbicara tentang akhlak di dalam Islam. Akhlak itu bukanlah terbatas kepada apa yang berkaitan dengan hubungan antara manusia shaja sebaliknya ia merangkumi hubungan antara manusia dan Penciptaya juga. 

Dari aspek negatif pula, masyarakat Islam ialah masyarakat yang mengharamkan semua bentuk jahat, akhlak-akhlak yang buruk serta mengharamkan dengan keras sebahagiannya sehingga mengklasifikasikannya didalam kategori dosa-dosa besar. Ia mengharamkan arak dan judi seta menganggapnya sebagai najis yang menjadi amalan syaitan dan mengharamkan zina serta setiap perkara yang mendekatkan dengannya. Demikian juga, ia mengharamkan sumbaleweng seks yang merupakan tanda kemunduran fitrah serta runtuhnya kelakian. Ia terutamanya apabila harta orang yang lemah seperti anak-anak yatim, mengharamkan penderhakaan terhadap kedua ibu bapa, memutuskan tali persaudaraan, berlaku buruk terhadap jiran tetangga, menyakiti orang lain sama ada dengan tangan ataupun kata-kata serta mempunyai cirri-ciri munafik iaitu berdusta, khianat, lari dari tanggungjawab, menyalahi janji dan berbuat jahat dalam persengketaan. 

MASYARAKAT ISLAM DAN PERJUANGAN MENGHADAPI GEJALA MURTAD
Bahaya paling dahsyat yang dihadapi o;eh seorang Muslim ialah bahaya yang nengancam kewujudan maknawinya iaitu akidahnya. Murtad dari agama Islam adalah bahaya paling besar terhadap masyarakat Islam. Ia merupakan perancangan yang diatur oleh musuh Islam untuk menjauhkan para penganutnya dari agama mereka sama ada melalui kekerasa, senjata atau melalui penipuan dan helahsepertimana fiman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 217:

“Mereka sentiasa memerangi kamu sehinnga mereka dapat mengembalikan kamu dari agama (kepada kekafiran), sekiranya mereka mampu”. 

Dewasa ini, masyarakat Islam telah menghadapi beberapa peperangan sengit dan serangan menggans yang bertujuan mencabut Islam dari tunjangnya. Ini dapat dilihat melalui gerakan kristianisasi yang bermula dengan penjajahan barat. Aktiviti ini masih lagi berterusan di negara-negara Islam dan di kalangan kaum pendatang serta kaum minority Islam. Matlamatnya adalah untuk menkristiankan umat Islam seluruh dunia sepertimana yang dinyatakan di dalam persidangan Colorado pada tahun 1987. 

Jadi kewajipan masyarakat Islam untuk memastikan kesinambungannya ialah dengan menentang segala bentuk kemurtadanan tak kira dari mana sumber ia datang dan dalam bentuk apa pun ia muncul, tanpa memberikan peluang kepadanya untuk tersebar secara meluas bak api di dalam sekam. 

Inilah yang dilakukan oleh Abu Bakar dan para sahabat r. a. h. ketika mereka memerangi golongan murtad yang telah mengikut para nabi palsu Musailamah, Sajjah, al-Usudi dan al-‘Insi yang hampir-hampir memusnahkan Islam dilubuknya sendiri. Tetapi bahaya yang paling besar ialah masyarakat Islam diuji dengan tersebarnya gejala murtad di dalam masyarakat namun tiada sesiapa yang mampu menghadapinya serta melawannya. Ia adalah seperti mana yang diungkapkan oleh seorang ulama tentang murtad yang merebak di zaman dengan katanya:”Riddah Wa La Abu Bakr Laha” (Kemurtadan dalam keadaan tiada individu seumpama Abu Bakar yang membanteraskannya). 

Oleh kerana itu, tidak dapat tidak mesti ada usaha pembanterasan gejala murtad secara individu serta membendungnya agar ia tidak menjadi serius dan merebak sehingga terjadinya murtad secara berkelompok. Api yang besar itu adalah berasal dari yang kecil. Justeru itu juga para ulama Islam telah bersepakat bahawa bunuh adalah hukuman ke atas si murtad sekalipu mereka berbeza pandangan mengenai perinciannya. Ini adalah pendapat empat mazhab bahkan begitu juga dengan mazhab yang lapan. 

peranan individu 
Apabila isu pembentukan masyarakat Islam dibincangkan, peranan individu- individu Muslim tidak dapat dielakkan. Ini kerana pembentukan sesuatu masyarakat adalah berasaskan institusi kekeluargaan. Manakala institusi keluarga pula bermula dengan perkahwinan di antara dua individu yang berlainan jantina. Kualiti ilmu yang dimiliki oleh individu-individu yang membentuk keluarga dan seterusnya masyarakat adalah faktor penentu kepada kualiti sesebuah masyarakat. Perhatian yang khusus telah diberikan oleh Islam terhadap pembentukan keluarga bagi mengekalkan generasi manusia (baka). Ini kerana, pengabaian pembentukan institusi keluarga akan membawa kepada keruntuhan dan kehancuran sesebuah masyarakat. 

Justeru itu Alah SWT telah menurunkan undang-undang keluarga Islam sebagai garis panduan kepada selurauh institusi kekeluargaan. la diklasifikasikan oleh fukaha di dalam kitab-kitab fikah sebagai Munakahat yang bermaksud nikah-kahwin. Institusi keluarga dapat memelihara akhlak, tata susila dan kemuliaan manusia melalui ikatan perkahwinan. Di samping itu, ia mempunyai peranan yang amat penting dalam pembentukan peribadi individu kerana peribadi yang baik akan membentuk keluarga yang baik, dari keluarga yang baik akan melahirkan masyarakat yang baik dan seterusnya tertegaknya sebuah masyarakat yang baik dan mulia di sisi Allah SWT dan dipandang mulia oleh orang sekelilingnya juga. Segala ilmu ini perlu dipelajari oleh setiap individu muslim sebelum mendirikan sebuah rumah tangga. Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada perkara ini: 

a)Perkahwinan

Perkahwinan merupakan ikatan antara dua individu iaitu lelaki dan wanita melalui akad nikah dan ijab Kabul. Dalam konteks ini, keutamaan diberikan kepada calon yang beriman kerana menurut Baginda Rasulullah s. a. w. hanya keimanan dapat menjamin keharmonian institusi keluarga dan sesebuah masyarakat dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. 

Undang-undang keluarga Islam juga turut memberikan garis panduan mengenai pasangan yang boleh dikahwini dan golongan yang haram dikahwini. Golongan yang haram dikahwini hukumnya terbahagi kepada dua iaitu haram abadi dan haram sementara. Hukum haram abadi ada tiga kategori iaitu mereka yang adapertalian darah seperti ayah, ibu dan anak dan pertalian kekeluargaan seperti anak tiri, mertua dan menantu selain pertalian penyusuan seperti ibu susu dan saudara sesusu. Manakala hukum haram sementara pula ialah ipar iaitu apabila pasangan meninggal maka perkahwinan antara suami dengan ipar atau isteri dengan ipar dibolehkan perempuan bukan Islam apabila dia memeluk Islam perkahwinan dibolehkan dan perempuan dalam idah (idah ialah tempoh menunggu bagi wanita yang bercerai dengan suaminya sama ada hidup atau mati, sebelum ia dibolehkan berkahwin lain selama 4 bulan 10 hari) apabila tamat tempohnya maka dibolehkan berkahwin. 

Perkahwinan bertujuan untuk memperolehi zuriat dan mengekalkan baka seterusnya dapat membina sesebuah institusi masyarakat baru selain darpada memelihara kehormatan diri, mencapai ketenangan hati, ketenangan jiwa dan sebagai cara untuk menyalurkan naluri cinta dan kasih sayang. la merupakan jalan penyelesaian kepada naluri tabii atau fitrah semula jadi manusia iaitu hubungan seks antara lelaki dan wanita yang dijadikan Allah s. w. t. 

b)Hak dan Tanggungjawab dalam Institusi Keluarga

Hak dan Tanggungjawab Suami Isteri dalam institusi keluarga Islam, suami dan isteri memiliki hak ke atas satu sama lain lantaran tanggungjawab yang dipikul sama ada bagi pihak suami, isteri atau tanggungjawab bersama suami dan isteri. Dalam konteks ini, isteri memiliki hak untuk memperolehi nafkah zahir dan batin daripada suami, memperolehi pakaian dan tempat tinggal yang sesuai daripada suami, memperolehi jaminan keselamatan dan kebajikan daripada suami, memperolehi nasihat yang baik daripada suami, suami bertanggungjawab melindungi rahsia kecacatan atau kekurangan isteri kepada orang lain, dan suami wajar mengasihi keluarga isteri. Hak ini hanya dimiliki oleh isteri setelah tanggungjawab sebagai seorang isteri dilaksanakan dengan baik seperti melayani keperluan batin suami, mentaati suami, taat dan kesetiaan isteri kepada suami selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam, iisteri bertanggungjawab merahsiakan kecacatan atau kekurangan suami kepada orang lain dan menjaga kehormatan dan harta suami ketika ketiadaannya. 

 Mengenai tanggungjawab suami, diamerupakan pemimpin dan ketua dalam institusi keluarga. Apabila dia melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami, dia berhak menerima layanan yang setimpal dan kasih sayang termasuk zahir dan batin daripada isteri. Isteri menjaga maruah dan akhlak samaada berada di hadapan ataupun di belakang suami dan meminta keizinan suami sebelum keluar rumah. 

Hak dan tanggungjawab bersama suami isteri ialah suami dan isteri sama- sama berhak untuk menikmati kemanisan, kenikmatan dan kebahagiaan hidup berumah tangga. Suami dan isteri bersama-sama bertanggungjawab mengeratkan hubungan silaturrahim dengan keluarga kedua-dua belah pihak. Harta kedua- duanya boleh diwarisi oleh salah seorang daripada keduanya apabila berlaku kematian. 

Hak dan tanggungjawab keibubapaan dalam konteks ini, Islam melihat tanggungjawab dua hala iaitu ibu bapa terhadap anak dan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak merangkumi berdoa kepada hadrat Ilahi agar dikurniakan anak yang soleh sebaik sahaja bernikah, mengazankan anak lelaki dan mengqamatkan anak perempuan sebaik sahaja dilahirkan, memberikan nama yang baik kepada anak, menyusukan anak sehingga berusia dua tahun, menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang sesuai dengan kehidupan, mendidik anak supaya menjadi orang soleh dan beriman serta memberi pendidikan yang sewajarnya, memberi kasih sayang secukupnya dan bersikap adil terhadap anak-anak dan menguruskan perkahwinan mereka apabila sampai masa untuk berkahwin. 

Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa merangkumi mentaati ibu bapa dalam semua perkara selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam, menyahut seruan dan panggilan mereka dan segera hadir apabila diperlukan, jangan meninggikan suara apabila bercakap dengan kedua-duanya, berdoa untuk kedua- duanya sama ada ketika hidup mahupun sesudah meninggal dunia, dan menyebut segala kebaikan ibu bapa dan melupakan segala kesilapan dan kekurangan. 


Pemahaman yang membahayakan masyarakat
Jenis Pertama:

Pemahan yang menyelinap masuk ke dalam Islam serta masyarakatnya pada zaman kemunduran dan salah faham terhadap Islam. 
Umpamanya pemahaman mengenai tawakkal yang difahami sebagai tawakul (pasrah tanpa sebarang usaha)atau mengenai kezuhudan yang difahami sebagai meninggalkan kehidupan kepada orang-orang yang tidak beriman atau mengenai iman kepada qadar yang difahami sebagai satu bentuk paksaan atau mengenai fiqh yang difahami sebagai menukilkan apa yang dikatakan oleh ulama terdahulu, atau mengenai akal yang difahami sebagai bertentangan dengan akal atau mengenai al-Quran yang difahami sebagai tangkal untuk menghidari ‘ain (jahat mata)atau gangguan jin atau mengenai keberkatan hadith yang difahami bahawa ia adalah terdapat pada saat membaca Sahih al-Bukhari ketika waktu-waktu krisis atau berkrnaa dengan para wali dan karamah dan isu-isu berkaitan dengannya seperti kepercayaan serta pemikiran yang bertentangan dengan sunnah Allah yang berlaku pada jiwa dan alam semesta atau lain-lain pemahaman yang bermaharajalela pada zaman kejumudan ilmu pengetahuan, pemikiran, taqlid fiqh, perkembangan ilmu kalam, penyelewengan tasawwuf, penindasan politik dan kemunduran tamadun. 

Jenis Kedua:
Pemahaman yang telah menyelinap masuk ke dalam masyrakat kita melaui penjajahan. Ia masuk melalui pintu penjajahan bergerak melalui rombongannnya, berlindung di sebaliknya dan menjadika barat sebagai “Kiblat” dan “Iman” yang mana kita belum pernah alaminya serta terfikirnya sebelum ini. 

Ia adalah pemahaman yang berkaitan dengan agaman dan dunia, lelaki dan wanita, konsep kebaikan dan kejahatan, kebebasan dab kejumudan, ketamadunan dan kemunduran serta halal dan haram. 

 Ia juga adalah pemahaman yang berkaitan dengan titik perbezaan antar kebebasan berfikir dan berkufur, antara kebebasan hak dan fasik, antara keintelektualam dan sekularisma serta antara negara keagamaan dan negara Islam. 

Ia adalah pemahan hasil serangan pemikiran yang beranggapan keimanan kepada perkara ghaib sebagai kemundurandan berpegang dengan moral agama sebagai ekstrim, seruan kepada berhukum dengan Syariat sebagai fundamentalis (keganasan), amar ma’ruf nahi munkar sebagai mencampuri urusan orang lain, percampuran antara lelaki dan permpuan tanpa sebarang sekatan sebagai kebebasan, pengembalian wanita muslimah kepada hijab syarie sebagai memusing jam ke belakang. 

Kesimpulan

Dengan ini dapatlah kita simpulkan bahawa betapa pentingnya konsep kemasyarakatan berdasarkan Al-Quran adalah sangat penting dalam pelbagai aspek. Ianya amatlah penting untuk individu, agama, bangsa dan juga negara. Masyrakat yang baik itu akan melambangkan sesebuah agama itu atau negara itu sendiri. Tetapi, memandangkan dunia sekarang ini sudah berkembang maju konsep kemasyarakatan itu kurang dihayati oleh manusia zaman sekarang. Generasi Y sekarang lebih mementingkan diri sendiri dari masyarakat di sekeliling mereka. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab haruslah menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin supaya konsep kemasyarakatan ini tidak pupus dek era pemodenan ini. 

Harapan saya, dengan adanya penulisan ini dapatlah kita sama-sama mengambil iktibar dan mengutip pengalaman dari hujahan di atas. Sya juga berharap agar konsep kemasyarakatan ini akan kekal sehingga hari kiamat kelak kerana hidup kita akan lebih teratur dan mudah jika dikelilingi oleh masyrakat yang harmoni. 

Bibliografi
Islam Cabaran Dan Isu Semasa, Ismail Abdul Rahman Dan Mohd Nasir Omar, Dewan Bahasa & Pustaka, 1991

Membangun Masyarakat Bertamadun & Harmoni, Abdul Qadir Djaelani, Pustaka Diri, Selangor D. E. , 2001

Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan, Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi, Terjemahan Ustaz Mohammad Zaini Yahaya, Selangor D. E. , 2000

Ciri-ciri Khusus Masyarakat Islam, Muhammad ‘Abdullah Al-Khatib, Kuala Lumpur, Oktober 1990

Islam Dan Perkembangan Masyarakat, Faisal Othman, Kuala Lumpur, 1997

Fikiran Dan Budaya Islam, Ismail R. Faruqi, Penterjemahan Masood Rashid, Kuala Lumpur, 1990


Pensyarah: Abd Aziz bin Harjin
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com


No comments:

Post a Comment