Thursday, October 15, 2015

Tajuk: Sumbangan Dan Peranan Sedekah Di Alam Melayu

PENDAHULUAN
Syeikh Nur al-Din al-Raniri merupakan seorang ulama yang berpengaruh dalam sejarah umat Islam di alam Melayu. Kedudukan beliau sebaris dengan beberapa tokoh ilmuan Aceh yang lain seperti Hamzah al-Fansuri, Syamsuddin al-Sumatrani dan Abdul Rauf al-Singkeli. Walaupun berbeza latar belakang pendidikan dan pemikiran beliau telah menjadi salah seorang watak penting dalam penyebaran Islam di nusantara yang giat menyebarkan dakwah sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Beliau telah banyak menghasilkan karya penulisan dalam pelbagai lapangan bidang ilmu agama seperti fiqh, tasawuf dan akidah. Salah satu hasil karya beliau yang mashyur dalam bidang fiqh adalah kitab al-Sirat al-Mustaqim. 

 Kitab al-Sirat al-Mustaqim merupakan kitab fiqh berbahasa Melayu dan bertulisan jawi yang pertama di nusantara. Oleh keran itu, sumbangan al-Raniri dalam hokum sedekah di nusantara dapat ditelusuri melalui penulisannya dalam kitab al-Sirat al-Mustaqim ini. Sedekah menjadi focus perbincangan kerana ia merupakan pemberian yang bersifat sukarela dan tidak mandatory seperti hukum zakat yang merupakan salah satu rukun Islam. Sedekah merupakan mekanisme agihan dan satu jaminan sosial bagi umat Islam. Ia bukan sahaja berkaitan dengan persoalan ibadat (‘ubudiyah) sukarela, bahkan ia melibatkan soal ekonomi dan kehartaan umat Islam. Oleh kerana itulah, adalah wajar untuk menelusuri perbincangan tentang sedekah dalam konteks zaman penyebaran Islam di alam Melayu. 


LATAR BELAKANG SYEIKH NUR AL-DIN AL-RANIRI
Nama penuh al-Raniri ialah Nur al-Din Muhammad Jilani b. Ali b. Hasani b. Muhammad Humayd al-Qurasyi al-Syafi’ al-Asy’ari al-Aydarusi al-Raniri(al-Attas). 

Beliau dilahirkan di Ranir atau “Rander”, Gujerat yang terletak di sebelah pantai barat India. Mengenai tarikh kelahirannya, tidak ada seorang pun ahli sejarah mencatat tarikh lahir beliau tetapi beliau dipercayai lahir sekitar penghujung abad keenam belas Masihi. Beliau bedarah kacukan Melayu dan Arab kerana ibunya berketurunan Melayu, sedangkan ayahnya adalah berasal dari keluarga yang bermigrasi dari Hadramaut. 

Beliau merupakan ahli sufi, ahli fiqh, penulis, sasterawan(pujangga), negarawan, ahli politik, dan juga ulama yang ternama. Pendidikan awal al-Raniri adalah di tempat kelahirannya sendiri iaitu di Ranir. Guru beliau yang paling terkenal ketika itu adalah Abu Hafs ‘Umar. Kemudian beliau melanjutkan pelajarannya di Hadramaut. Kemudian dia bermusafir ke al-Haramain pada tahun 1030(bersamaan 1620M/1621M) dan menunaikan haji. Beliau mempelajari Bahasa Melayu di negerinya (Ranir). Ini kerana apabila beliau tiba di Aceh beliau sudah mempelajari Bahasa Melayu kemungkinan disebabkan Bahasa Melayu ketika itu menjadi “Lingua Franca” di kepulauan alam Melayu sekitar abad ke-15. Al-Raniri menguasai ilmu mantik, balaghah, tasawuf, ilmu kalam, fiqh, hadis, sejarah dan perbandingan agama. Al-Raniri tiba di Aceh pada tahun 1637 pada pemerintahan Sultan Iskandar Thani. Walaupun begitu terdapat pandangan yang menyatakan bahawa al-Raniri telah tiba di Acheh sebelum tahun 1637, ketika mana Aceh diperintah oleh Sultan Iskandar Muda. Disebakan kedatangannya tidak mendapat sambutan dari pihak istana pada zaman Sultan Iskandar Muda, beliau meneruskan perjalanan dan menetap di Pahang dan di situ jugalah beliau meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu. Setalah kematian Sultan Iskandar Muda(1636) dan kekuasaan Aceh berpindah kepada Sultan Iskandar Thani (1636-1641), barulah al-Raniri kembali di ke Aceh. Beliau telah dilantik menjadi Kadi Adil iaitu jawatan Mufti Besar Kerajaan Aceh oleh Sultan Iskandar Thani. Beliau memegang jawatan tersebut hinggalah di bawah pemerintahan Ratu Safiatuddin(1641-1675) iaitu selepas kematian Sultan Iskandar Thani. Beliau meninggal dunia di Gujerat pada hari Sabtu tanggal 22 Dhu al-Hijjah 1068H bersamaan 21 September 1658. 

DEFINISI SEDEKAH
Sadaqah atau sedekah adalah daripada perkataan (Bahasa Arab: صدقة) yang bermaksud benar. 

Makna syara’ “sedekah” pula adalah pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Jadi apabila merujuk keimanan mahupun keyakinan janji kepada Allah Subhanahu wa ta’ala., sudah tentu di sana perlu kepada pembuktian iaitu menginfakkan harta di jalan Allah Subhanahu wa ta’ala. Baik pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, kerabat keluarga, mahupun untuk kepentingan jihad fisabilillah. 

Makna sedekah memang sering menunjukkan makna memberikan harta untuk hal tertentu di jalan Allah Subhanahu wa ta’ala. sebagaimana yang terdapat dalam banyak ayat-ayat dalam al-Quran. Di antaranya adalah:

“ Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk- nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggallannya bersih licin (tidak bertahan lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah). Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. (Surah Al-Baqarah :ayat 264). 

 Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-biskikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar. (Surah An-Nisaa : ayat 114). 

PERANAN SEDEKAH
Pada zaman dahulu sikap pemurah di kalangan dermawan juga dapat diperhatikan menerusi pelbagai cawangan dan sumbangan yang diberikan oleh tokoh-tokoh yang terunggul di alam Melayu. Masing-masing telah membantu kerajaan dalam membangunkan bangsa dan negara di dalam bidang-bidang kebajikan dan sebagainya. 

Walaupun terdapat pelbagai matlamat sebenar di sebalik derma-derma ini dibuat oleh para jutawan terbabit, namun kita tidak dapat mempertikaikan bahawa ia sebenarnya banyak membantu dalam meningkatkan kemakmuran masyrakat yang kurang bernasib baik dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf sosio ekonomi. 

Menyentuh tentang sikap dermawan ini, agama Islam sebenar amat dekat dengan amalan tersebut. Di dalam ajaran Islam kita merujuknya sebagai amalan sedekah, iaitu baik yang bersifat wajib seperti zakat mahupun yang bersifat sukarela seperti sedekah atau wakaf. Namun dari segi kesan kepada kebaikan ummah, penulis berpendapat sedekah sukarela lebih memberi kesan kebaikan berbanding sedekah wajib kerana sedekah wajib (zakat) merupakan satu levi minima yang dikenakan ke atas harta atau pemikiran kaum Muslimin. Jadi sudah tentu tidaklah sebaik sedekah sukarela yang tiada had minima had maksimum untuk membuat sumbangan. Ia hanya bergantung kepada keikhlasan seseorang dan boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa mengira tempat dan boleh disalurkan untuk masyarakat umum. 

Selain itu, berbanding wang zakat yang perlu diagihkan terus kepada asnaf yang berhak menerimanya. Wang-wang sedekah ini jika diuruskan di bawah sartu badan khas, ia boleh dikembangkan melalui alat-alat pelaburan yang ada di pasaran kewangan. Secara tidak langsung si penderma akan mendapat pahala yang berterusan jika sumbangnya tadi dapat dimanfaat secara berterusan di dalam bidang-bidang kebaikan yang dipilihnya. Inilah yang dibuat oleh tokoh-tokoh ulama terkenaln di dunia di sebelah Barat. 

Sedekah adalah kata yang sentiasa terngiang di telinga kita, namun sejauh manakah kita telah mengimplementasikan dalam keseharian hidup kita. Sedekah adalah amalan yang mulia. Sedekah dengan ikhlas akan dibalas dengan perkara yang baik juga. Allah akan melapangkan dada, membuat kita gembira, melgakan perasaan dan mensejahterakan seluruh hidup kita. Bersedekahlah kita walau sedikit dengan seikhlasnya. Kerana, dalam setiap rezeki dan harta yang kita miliki itu terdapat juga hak orang lain. Jadi, adalah lebih baik jika ia dikongsi dan dinikmati bersama. Beriman dengannya dan bersedekah seikhlasnya. Sedekah seikhlasnya mampu meringankan beban seseorang dan nenjauhkan diri kita daripada panas api neraka. 

KEISTIMEWAAN SEDEKAH
Sedekah memiliki sejumlah keutamaan dan keistimewaan. Dalam surah at-Taubah (ayat 103), sedekah bertujuan untuk menyucikan harta dan diri sendiri agar menjadi penenteram batin. Dalam sejumlah hadis, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam menyatakan, sedekah itu merupakan bukti keimanan seseorang dan mereka yang bersedekah akan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. 

Di antara keutamaan sedekah, pertama, orang bersedekah berhak mendapat rahmat Allah (al-A’raf: ayat 56). Sedekah akan menjadi naungan di akhirat saat tidak ada naungan, kecuali naungan Allah. “Sesunnguhnya, sedekah itu memadamkan panasnya di kubur dan hanyalah seorang mukmin yang mendapatkan naungan pada hari kiamat nanti dengan sedekahnya. (HR. Thabrani dan Baihaqi). 

Kedua, sedekah memadamkan murka Ilahi, “Sedekah rahsia (tersembunyi) itu memadamkan amarah Ilahi. ” (HR. Thabrani dan Ibnu Asakir). Ketiga seekah menolak mati dalam keadaan suul khatimah (akhir yang buruk). “Akhlak buruk adalah kejelekan, kuat ingatan adalah mengembangkan dan sedekah menolak mati suul khatimah”. HR al-Baihaqi). 

Keempat sedekah menjadi sebab disembuhkannya penyakit. “Ubatlah orang-orang sakit dengan sedekah, bentengkanlah hartamu dengan zakat dan sesungguhnya zakat itu menolak peristiwa mengeriakan dan penyakit. ” (HR Ad- Dailami dari Ibnu Umar). 

Kelima, sedekah itu akan mendapatkan keberkatan dalam hidup dan tambahan rezeki. “Barang siapa menafkahkan hartanya maka akan diberi keberkatan darinya. ” Dalam hadis lain disebutkan “Tidaklah sedekah itu mengurangi harta dan tidaklah pemberian maaf itu kecuali ditambah kemuliaan oleh Allah dan tidaklah seseorang tawadhu kerana Allah, kecuali dia akan mengangkat darjatnya. ” (HR Muslim)

Ramadhan adalah bulan termulia dan utama. Oleh itu, bersedekah di bulan ini akan makin berlipat pahala dan keutamaannya. “Sedekah paling utama adalah sedekah di bulan Ramadhan. ” (HR at-Turmudzi dari Anas). 

Demikian hebatnya keistimewaan sedekah. Sudah seharusnya kita mempergunakan momentum mulia ini untuk meningkatkan kepedulian kita kepada fakir miskin dan orang-orang tertindas. 

HUKUM SEDEKAH MENURUT ISLAM
Para fuqaha sepakat hukum sedekah pada dasarnya adalah sunah, berpahala apabila dilakukan dan tidak berdosa jika ditinggalkan. Di samping sunnah, adakalanya hukum sedekah menjadi haram iaitu dalam aspek seseorang yang bersedekah mengetahui bahawa orang yang bakal menerima sedekah tersebut akan menggunakan harta sedekah untuk kemaksiatan. Terakhir ada kalanya juga hukum sedekah berubah menjadi wajib, iaitu ketika seseorang bertemu dengan orang lain yang sedang kelaparan hingga dapat mengancam keselamatanjiwanya, sementara dia mempunyai makanan yang lebih dari apa yang diperlukan saat itu. Hukum sedekah juga menjadi wajib jika seseorang bernazar hendak bersedekah kepada seseorang atau lembaga. 

Menurut fuqaha, sedekah dalam erti sadaqah at-tatawwu’ berbeza dengan zakat. Sedekah lebih utama jika diberikan secara diam-diam dibandingkan diberikan secara terang-terangan dalam erti diberitahukan atau diberitakan kepada umum. Hal ini disamakan dengan hadis Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam dari sahabat Abu Hurairah. Dalam hadis itu dijelaskan salah satu kelompok hamba Allah Subhanahu wa ta’ala yang mendapat naungan-Nya di hari kiamat kelak adalah seseorang yang member sedekah dengan tangan kanannya lalu ia sembunyikan seakan-akan tangan kirinya tidak tahu apa yang telah diberikan oleh tangan kanannya tersebut. 

Sedekah lebih utama diberikan kepada kaum kerabat atau sanak saudara terdekat sebelum diberikan kepada orang lain. Kemudian sedekah itu seeloknya diberikan kepada orang yang betul-betul sedang memerlukan bantuan. Mengenai kriteria barang yang lebih utama disedekahkan, para fuqaha berpendapat, barang yang akan disedekahkan sebaiknya barang yang berkualiti baik dan disukai oleh pemiliknya. Hal ini sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang ertinya “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaktian (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai…” (QS Ali Imran: ayat 92). 

Pahala sedekah akan lenyap bila si pemberi selalu menyebut-nyebut sedekah yang telah ia berikan atau menyakiti perasaan si penerima. Hal ini ditegaskan Allah Subhanahu wa ta’ala dalam firman-Nya yang bererti “Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima”. (QS Al-Baqarah[2] : 264). 

KELEBIHAN SEDEKAH KEPADA PEMBERI SEDEKAH
• Para malaikat sentiasa berdoa supaya ditambahkan rezeki kepada pemberi sedekah. 
• Merupakan kemenangan ke atas syaitan. 
• Mengawal kehormatan dan maruah. 
• Memperbaiki amalan sebelum mati. 
• Melembutkan hati yang keras. 
• Menolak bala dan melindungi pemberi sedekah serta ahli keluarga daripada ditimpa bala bencana. 
• Pelindung kepada api neraka. 
• Menyamankan kediaman dalam kubur dan memadam api dalam kubur. 
• Memberi keberkatan kepada pemilik harta. 

KELEBIHAN SEDEKAH KEPADA PENERIMA SEDEKAH
• Dengan bersedekah akan menghilangkan rasa kurang senang golongan yang miskin terhadap golongan yang berharta dan kaya. 
• Bersedekah dapat menghilangkan kesusahan yang dialami oleh orang-orang yang kesempitan. Ini, menggambarkan wujudnya sifat saling membantu antara satu sama lain dalam masyarakat. 
• Bersedekah akan menimbulkan rasa kasih sayang sesama masyarakat Islam baik yang kaya mahupun yang miskin. Sifat dengki akan hilang. 

KESIMPULAN
Bersedekah adalah di antara amalan sunat yang sangat dianjurkan dan digalakkan kepada umat Islam, tidak kira status atau taraf hidup mereka. Malah amalan mulia ini bukan hanya kepada orang-orang kaya, tetapi mereka yang berpendapatan rendah juga disarankan melakukannya, menurut kadar kemampuan masing-masing. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . bersabda : Tangan yang di atas (orang yang memberi) itu lebih baik daripada tangan yang ada di bawah. Kita juga disarankan agar tidak mengungkit segala pemberian kerana perbuatan mengungkit dan riak ini akan membatalkan sedekah. Kekayaan juga tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta dan rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak serta mencukupi. Sebaliknya, tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta. Setiap kebaikan yang sama ada dalam bentuk spritual dan fizika lsebenarnya sedekah. Amalan sedekah juga lambang kebenaran iman. Sekecil mana sumbangan yang dihulurkan ia cukup bermakna kepada si penerima yang hidup serba kekurangan, malah buah tangan yang tidak seberapa itu mampu menerbitkan senyuman, walaupun cuma untuk seketika. Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka dalam kesempitan. Nas daripada al-Quran dan hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam jelas menganjurkan umat Islam menghidupkan amalan sedekah, kerana banyak manfaatnya. Sedekah pula tidak semestinya wajib dengan duit atau wang sahaja, memberi makan kepada orang yang berpuasa atau lapar, menyedekahkan baju-baju terpakai, menolong kawan yang berada di dalam kesusahan juga boleh dikategorikan dalam amalan sedekah. Antara contohnya, pekerja yang memotong rumput atau mengutip sampah dengan lori sampah biasanya kehausan. Besar pahalanya kalau kita dapat menyediakan segelas atau sebotol air kosong untuk mereka khususnya jika cuaca panas. Itu juga dikira sebagai sedekah dan besar ganjarannya di akhirat kelak. 

RUJUKAN
An-Nawawie, Imam Abu Zakaria Yahya bin Syarf, Terjemah Riadhus Shalihun 1 PT Al-Ma’arif, Bandung. 1986. 
Tamim, Abdulmajid. Hadist Arbain Nawawi, Sinar Wijaya, 1984. 
Ishhaq al-Atsariyyah dkk, Ummu. Asy Syari’ah vol. V1/NO. 64. Oase Media, Sleman. 2010. 
Ab. Manaf H. A., Tajuddin S. 2005. Tokoh-Tokoh Agama dan Kemerdekaan di Alam Melayu. Kuala Lumpur: YADIM
Abdul Kadir, H. M. 1996. Sejarah Penulisan Hukum Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
Mohd. Muhiden Abd. Rahman. 2006. Riwayat Hidup Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Sumbangannya Kepada Pengajian al-Hadith. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment